mutakhir

Vietnam, China pembeli tegar haiwan eksotik

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Dianggarkan lebih sejuta ekor tenggiling ditangkap secara haram dan diperdagangkan di seluruh dunia sejak tahun 2000.

Ini menjadikan mamalia itu antara haiwan paling tinggi diperdagangkan terutama bagi memenuhi permintaan tinggi di Vietnam dan China.

Walaupun pemerdagangan tenggiling diharamkan sepenuhnya mengikut Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Terancam 2008(CITES) namun haiwan ini terus ditangkap dan dibunuh kejam demi sisik serta dagingnya.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negata (PERHILITAN), Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya sentiasa berusaha keras mematahkan sebarang usaha penyeludupan haiwan dilindungi ini.

Menurutnya, langkah itu dilakukan bagi memastikan populasi tenggiling di negara ini tidak terjejas.

“Mungkin tindakan tegas dan agresif PERHILITAN menyebabkan sindiket berusaha mendapatkan bekalan sisik haiwan itu dari Afrika.

“Tenggiling dilindungi sepenuhnya di Semenanjung Malaysia mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Hukuman berat menanti iaitu denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya bagi individu yang menangkap haiwan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan PERHILITAN, Rozidan Md Yasin berkata, setiap ekor tenggiling dianggarkan seberat 5 kilogram (kg) hingga 7kg dengan sisik seberat 0.5kg.

“Oleh itu 1,400 ekor tenggiling dibunuh kejam untuk mendapatkan 712 kg sisik (merujuk kepada rampasan Kastam Diraja Malaysia pada 1 dan 2 Mei lalu).

“Sisik tenggiling biasanya turut digunakan secara tradisional untuk tujuan perubatan seperti menyembuhkan demam, malaria dan menambah tenaga walaupun tiada bukti secara santifik bagi menyokong dakwaan itu,” katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 6:00am
d