mutakhir

Pusat ilmu kendiri

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Istimewa Madrasah ad-Diniah di Sungai Resik, Muar, Johor ialah turut mengajar kemahiran vokasional kepada pelajarnya selain pembelajaran kitab turath.

Malah, madrasah yang turut dikenali sebagai Pondok Sungai Resik itu mungkin satu-satunya pondok di Malaysia mengajar kemahiran vokasional ketika kebanyakan pondok lain menawarkan pengajian akademik atau tahfiz sebagai tambahan.

Menurut Mudirnya, Ustaz Mohamad Hanapiah Mohd Hambali, 40, latar belakang pelajar berbeza antara faktor pihaknya menyediakan nilai tambah kepada mereka yang menuntut ilmu di situ.

“Antara tujuannya untuk menarik minat masyarakat supaya belajar perkara lain selain ilmu agama.

“Kemahiran seperti membaiki motosikal dan kimpalan antara ilmu vokasional yang diajar untuk persediaan masa depan pelajar,” katanya yang berasal dari Bagan Serai, Perak.

Katanya, pondok itu turut menyediakan ilmu kemahiran lain seperti pertukangan asas dan bagaimana mencari rezeki di laut atau sungai seperti menjala dan memancing.

Beliau berkata, pihaknya dalam peringkat akhir menawarkan kursus asas pastri dan bakeri dengan kerjasama GiatMARA.

Menyingkap sejarahnya, Madrasah ad-Diniah diasaskan pada 9 September 2011 dengan peringkat awalnya beroperasi di sebuah rumah di Parit Besar Bagan, Batu Pahat.

“Memandangkan lokasinya tidak sesuai dan pertambahan pelajar, ia berpindah ke tapak sekarang apabila seorang penderma mewakafkan setengah ekar tanah.

“Selain itu, saya bercita-cita membuka pondok sendiri selepas tamat belajar di Pondok Pasir Tumboh, Kelantan beberapa tahun lalu dan tawaran penderma mewakafkan tanah tepat pada masanya bagi merealisasikan usaha murni ini,” katanya yang turut mengajar Fardu Ain di GiatMARA Bakri dan Muar serta beberapa masjid berhampiran.

Menurutnya, pondok itu kini mempunyai 10 pelajar tetap berusia 11 hingga 16 tahun serta ratusan orang bagi kelas dewasa atau pengajian umumi bawah bimbingan lima guru agama serta dua guru kemahiran.

Katanya, selain menawarkan pengajian kitab turath dan kemahiran vokasional, pihaknya bercadang mewujudkan pengajian tahfiz dalam masa terdekat.

“Secara umumnya, sistem pengajian di pondok ini terbahagi kepada empat tahap mengikut kemampuan pelajar iaitu kelas pengenalan atau permulaan, kelas kitab Jawi dan Arab iaitu kelas umumi (untuk orang awam) dan kelas nizomi (untuk pelajar pondok), kelas kemahiran vokasional dan kelas hafazan ayat pilihan,” katanya.

Beliau berkata, kelas pengenalan atau permulaan merangkumi asas menulis dan membaca Jawi serta pengajian Iqra selain tajwid.

Menurutnya, kelas umumi pada waktu malam membincangkan perkara berkaitan fiqah, al-Quran, tajwid dan taranum, manakala kelas nizomi pula membabitkan pengajian kitab turath merangkumi ilmu fiqah, tauhid, tasauf, nahu, sorof, tafsir dan pelbagai lagi.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 6:13am
d