mutakhir

Serah 13,200 bungkusan kuih raya

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

KERAJAAN negeri Kelantan menyerahkan 13,200 bungkusan kuih raya kepada lebih 15 pasukan keselamatan di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan itu sebagai penghargaan yang tinggi kepada mereka yang bertungkus lumus menjalankan tugas pada musim perayaan ini.

Katanya, penerima sumbangan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Walaupun sumbangan itu kecil, namun kita harap petugas keselamatan yang tidak dapat bercuti bertugas dengan baik pada Aidilfitri ini.

"Kita berdoa supaya pengorbanan mereka diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT dan Islam juga meletakkan mereka di tempat yang tinggi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Kuih Raya Daripada Kerajaan Negeri Kelantan Kepada Pasukan Keselamatan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Pada masa sama, Ahmad menasihatkan kepada perantau yang mahu pulang ke kampung sempena perayaan ini supaya berhati-hati ketika memandu.

"Kita tahu sehari atau dua hari sebelum raya, jalan agak sesak dan minta mereka supaya mencari jalan alternatif yang lebih selamat," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 12:01pm
d