mutakhir

Sistem pengajian UPNM mungkin dirombak

Oleh Mohd Nasif Badruddin

KEMENTERIAN Pertahanan tidak menolak kemungkinan akan merombak sistem latihan atau pengajian Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi mengekang kes buli.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau serius mahu melihat UPNM dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) bertanggungjawab dengan tragedi yang berlaku itu.

“Kementerian akan tengok perkembangan ini, kalau perlu rombak, kita akan rombak.

“Mereka (pihak terbabit) akan cadangkan bentuk tindakan atau rombakan dan saya akan beritahu kepada orang ramai selepas siap nanti," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Setiausaha UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Hishammuddin berkata, pihak yang terbabit melakukan jenayah hingga menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 22 Mei lalu tidak boleh lepas tangan.

Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat kerana terdapat dua kumpulan pelajar yang dimaksudkan.

Katanya, seramai 13 penuntut UPNM yang dibenar menyambung kembali pelajaran adalah mereka yang dibebaskan dengan bon mahkamah dan tidak dikenakan sebarang pertuduhan.

Menurutnya, satu kumpulan lagi adalah yang dikenakan tuduhan mengikut Kanun Keseksaan dan mereka dibenarkan oleh mahkamah untuk diikat jamin sementara menanti perbicaraan.

Beliau berkata, pelajar terbabit digantung daripada pengajian mereka dan pihak UPNM sedang memproses penggantungan itu mengikut prosedur ditetapkan.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 1:37pm
d