mutakhir

Tambah baik pendidikan awal kanak-kanak

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN akan menambah baik sistem pendidikan awal kanak-kanak menerusi kajian terperinci yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada pakar pendidikan daripada beberapa kementerian yang akan diterajui Kementerian Pendidikan.

"Selain itu, kita ada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Permata Negara (PERMATA).

"Kita ada banyak taska serta tadika melalui kementerian dan agensi terbabit, jadi kita perlu penambahbaikan sistem pelajaran (kurikulum) dan kokurikulum di bawah satu landasan bagi menentukan masa depan anak-anak ini yakni kanak-kanak yang berusia sehari hinggalah enam tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Skim Biasiswa Anak Pekebun Kecil RISDA Daerah Padang Terap 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, jawatankuasa itu turut akan merujuk kepada sistem pendidikan awal kanak-kanak di luar negara yang boleh dijadikan contoh untuk dilaksanakan di Malaysia.

"Kementerian juga akan memastikan setiap guru pendidikan awal kanak-kanak memiliki sekurang-kurangnya diploma pendidikan," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 3:27pm
d