mutakhir

Siasat doktor rawat mangsa dera

Oleh myMetro

Klang: Doktor yang merawat kecederaan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang maut akibat didera, baru-baru ini, dipanggil Kementerian Kesihatan dalam tempoh terdekat.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, doktor itu sepatutnya mengetahui perbezaan kesan kecederaan dialami mangsa sama ada akibat didera atau sebaliknya.

“Selain itu, dia perlu segera melaporkan kepada polis sekiranya mendapati keadaan kecederaan pesakit mencurigakan.

“Sejak sekian lama, menjadi amalan biasa doktor melaporkan kepada polis jika sangsi wujud isu berkaitan jenayah. Doktor mungkin tiada hak kerana ia membabitkan kes jenayah namun mereka masih perlu melaporkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Ladang Highlands, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Kata Subramaniam, setakat ini hanya polis yang boleh mengambil tindakan ke atas doktor berkenaan jika wujud keperluan untuk berbuat demikian.

Disiarkan pada: June 19, 2017 @ 9:52am
d