mutakhir

JPJ pasang tujuh lagi kamera AES

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertindak memasang tujuh lagi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagai tambahan kepada 14 kamera AES sedia ada.

Dalam kenyataan JPJ semalam, pemasangan kamera AES itu akan dilakukan di lokasi dikenal pasti sering berlaku kemalangan maut sebelum ini.

Pemasangan itu dipercayai dilakukan JPJ dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) selepas meneliti beberapa lokasi kerap berlaku kemalangan.

Sebelum ini, sebanyak 14 kamera AES dipasang di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Penambahan 14 kamera ini diyakini mampu mengurangkan jumlah kemalangan di negara ini,” jelas kenyataan itu.

Antara 14 lokasi dipasang kamera AES sebelum ini adalah Kilometer (KM) 7 Jalan Maharajalela, Teluk Intan, KM 376 Lebuhraya PLUS Slim River, KM 91 Jalan Ipoh - Butterworth di Kerian, KM 85.5 Jalan Ipoh- Kuala Lumpur di Tapah, KM 205.6 Lebuhraya PLUS Taiping Utara, KM 26 Jalan Ipoh- Kuala Kangsar di Sungai Siput, Jalan Pasir Putih, Ipoh, KM 7.7 Sungai Besi, Jalan Persiaran Timur Putrajaya, KM 301.9 Kajang, Jalan Lebuh Sentosa, Putrajaya, KM 6.6 Jalan Kajang/ Puchong, Jalan Klang Lama dan Jalan Ipoh.

Tujuh lokasi yang baru dipasang kamera AES pula adalah di KM 151.4 Lebuhraya Plus - Pagoh, KM 299.9 Lebuhraya Plus-Kampar, KM 17 Jalan Gua Musang - Kuala Krai, KM 96.3 Lebuhraya Plus -Kuala Muda, KM 256.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 berhampiran Chenih, KM 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 berhampiran Chukai dan KM 146.8 Lebuhraya Plus - Pagoh.

Selain itu, empat lampu isyarat yang dipasang kamera AES adalah di KM 26 Jalan Ipoh - Kuala Kangsar (persimpangan Kampung Kerdah), Jalan Pasir Putih-Ipoh (persimpangan Jalan Temenggung), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (persimpangan Jalan Perhentian, Sentul) dan Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur (persimpangan Jalan Sepadu).

Disiarkan pada: June 19, 2017 @ 10:16am
d