mutakhir

Penderma wakaf tanah [METROTV]

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kewujudan Madrasah ad-Diniah di Sungai Resik, Muar, Johor tepat pada masanya ketika masyarakat sekitar mencari tempat untuk belajar ilmu agama dengan lebih mendalam.

Timbalan Pengerusi Madrasah ad-Diniah Haji Mohd Sulbidin Paimin, 64, berkata, biarpun serba kekurangan pada awalnya namun usaha murni Ustaz Mohamad Hanapiah Mohd Hambali, 40, membina pondok mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Katanya, bukan saja ada penderma mewakafkan tanah, malah banyak sumbangan diberikan dalam bentuk bahan binaan selain wang ringgit selain tenaga kerja dalam membantu menyiapkan infrastruktur di situ.

“Madrasah ad-Diniah yang juga dikenali sebagai Pondok Sungai Resik ini begitu dekat dengan masyarakat apabila setiap aktivitinya bukan saja dihadiri ramai orang, malah ada saja yang menghulurkan sumbangan untuk membantu.

“Lebih bermakna lagi, pondok ini turut menyediakan pengajian kitab turath kepada orang dewasa setiap Sabtu selepas Maghrib selain kelas al-Quran,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap orang ramai dapat terus membantu pembangunan pondok itu dalam apa saja bentuk yang termampu.

Katanya, pondok itu juga istimewa kerana bersikap terbuka menerima pelajar tercicir atau bermasalah akademik dan disiplin.

“Kalau tiada orang yang ambil tanggungjawab ini, siapa lagi yang hendak diharapkan. Jadi sama-samalah kita bantu dari segi moral dan kewangan,” katanya.

Sementara itu, guru taranum Madrasah ad-Diniah, Hajah Siti Aishah Abdul Kadir, 64, berkata sejak kelas al-Quran diadakan di situ, ramai kaum wanita menyertainya untuk memperelokkan bacaan al-Quran terutama dari segi tajwid dan lagu.

“Walaupun lokasinya agak jauh daripada jalan besar namun ramai yang datang ke pondok ini untuk belajar termasuk kaum ibu dan ia bukan tempat untuk remaja belajar agama saja.

“Malah, ustaz di sini turut berpengalaman mengajar di tempat lain selain mengekalkan pengajian kitab turath secara tradisional,” katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu menyokong pembangunan pondok untuk terus maju dan memberi ilmu kepada pelbagai lapisan masyarakat di situ tanpa mengira usia serta latar belakang.

Disiarkan pada: June 19, 2017 @ 10:35am
d