mutakhir

#QuranHour galakkan umat baca al-Quran

Oleh Siti Rohana Idris

SEBANYAK 590 masjid di Kelantan mengimarahkan rumah Allah dengan program Malaysia #QuranHour yang berlangsung serentak selama sejam, berakhir 1 tengah hari tadi.

Masjid Muhammadi di Kota Bharu menjadi masjid rasmi program itu di negeri itu menyaksikan lebih 1,000 orang terbabit termasuk pelajar tahfiz dan orang ramai.

Program berkenaan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) dan Kumpulan Media Karangkraf (KNK) dan dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Islam Melayu Kelantan (MAIK), Dr Nik Mohd Azlan Ab Hadi.

Beliau berkata, penganjuran program itu membentuk satu gelombang indah dengan ayat suci al-Quran yang diperdengarkan pembaca.

"Al-Quran ibarat surat pekeliling daripada Allah yang menggariskan apa tindakan dan peraturan baharu yang perlu dibuat dan dituruti.

"Program ini juga bertepatan dengan usaha dijalankan MAIK yang inginkan umat Islam sentiasa membaca dan memahami al-Quran," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau yakin program dapat menghidupkan amalan membaca al-Quran dalam kalangan rakyat dan khatam sekurang-kurang sekali setahun.

Dalam tempoh sejam itu, pelbagai pengisian diadakan termasuk penghayatan dan tafsiran ayat suci, bacaan dan khatam al-Quran beramai-ramai sebelum disudahi dengan doa secara berjemaah.

Disiarkan pada: June 19, 2017 @ 3:17pm
d