mutakhir

Teh ais 'lalok'

Kuala Lumpur: Dadah perisa teh ais. Itu inovasi terbaru dihasilkan satu sindiket pengedaran dadah mencampurkan dadah syabu bersama serbuk teh.

Taktik sindiket itu terbongkar hasil operasi khas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Wangsa Maju di sebuah hotel di kawasan Pudu di sini, pada 16 Jun lalu.

Timbalan Ketua JSJN Kuala Lumpur Superintendan Mohd Faisal Yahya berkata, pihaknya yang melakukan risikan bertindak menahan suspek berusia 15 dan 25 tahun di hotel berkenaan pada jam 1.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg digalas remaja wanita itu membawa kepada penemuan 100 peket plastik berwarna biru bertulis ‘Apache’ Ice Cool Lemon Tea disyaki campuran serbuk dadah Methamphetamine seberat 2.9 kilogram (kg).

“Susulan itu, polis membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Bukit Bintang di sini, dan menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia 16 hingga 25 tahun,” katanya semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah itu, sebanyak 10 peket plastik minuman segera seberat 305 gram, sepaket syabu seberat 0.37 gram dan tiga biji pil Eramin 5 dirampas.

Kesemua rampasan dadah itu bernilai RM224,395.

Sementara itu katanya, pihak JSJN turut menahan 18 pengedar dadah yang bergiat aktif di sekitar ibu kota dalam tempoh tiga hari sejak 16 Jun lalu hingga kelmarin.

“Hasil penahanan itu, kami merampas heroin seberat 188.9 gram, syabu seberat 4.4kg, serbuk dadah Methamphetamine seberat 305 gram, serbuk dadah seberat 200 gram, 200 biji pil Eramin 5 dan 15 biji pil ekstasi.

“Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM596,715. Ekoran kejayaan itu, kami menyita pelbagai harta pengedar dadah bernilai RM65,000,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 6:40am
d