mutakhir

Akses 'lesen besar'

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Guna pas pelajar sebagai ‘lesen besar’ untuk memasuki negara ini sebelum bergiat aktif menjadi pengedar dadah.

Itu antara kegiatan jenayah dilakukan lapan suspek warga Nigeria dan seorang warga Uganda, Afrika yang mendalangi sindiket dadah antarabangsa di ibu kota.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata, semua suspek diberkas hasil empat serbuan berasingan di Wangsa Maju, Jumaat lalu.

Katanya, lima daripada warga Nigeria yang ditahan adalah pelajar kolej berdasarkan kad pelajar yang ada dalam simpanan mereka ketika pemeriksaan dilakukan polis.

Bagaimanapun, siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti kesahihan kad berkenaan.

“Semakan mendedahkan lima suspek ini adalah penuntut daripada dua kolej berbeza dalam bidang jurusan bahasa serta multimedia.

“Polis akan siasat pembabitan penuntut terbabit berikutan risikan mendapati sindiket berkenaan sudah berada di Malaysia sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di Taman Danau Kota di sini, pihaknya menahan tiga lelaki dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki mereka menemui satu kilogram syabu yang disorokkan di dalam dua kotak dengan nilai pasaran RM100,000.

“Susulan tangkapan itu, kami membuat serbuan ke tiga lokasi di Jalan Danau Niaga, Jalan Danau dan Jalan Pahang sebelum menahan enam lagi suspek,” katanya.

Beliau berkata, semua warga Nigeria berusia antara 25 hingga 39 tahun serta warga Uganda berusia 25 tahun itu kini direman sehingga 30 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959.

Sementara itu beliau mendedahkan sebanyak 86,015 tangkapan dilakukan JSJN ke atas sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah membabitkan nilai RM107.68 juta dalam tempoh enam bulan sehingga Khamis lalu.

Daripada jumlah itu, 82,333 tangkapan membabitkan warga tempatan manakala 3,682 lagi adalah warga asing.

Menurutnya, seramai 12,075 ditahan atas kesalahan membekalkan dadah, 27,554 (memiliki) dan 46,386 lagi selepas ujian air kencing mendapati positif dadah.

“Dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Jun lalu, kami merampas pelbagai jenis dadah sintetik membabitkan syabu (503.08 kilogram (kg); 90.41kg ketamin; pil ekstasi (109,183 biji); pil yaba (773,635) dan pil Erimin 5 (2,640,854 biji).

“Turut dirampas, 791.29kg ganja dan 253.47kg heroin. Selain itu, harta milik suspek berjumlah RM75.15 juta disita dan RM2.35 juta lagi dilucut hak,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 6:40am
d