mutakhir

Sengaja cari pasal

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Petaling Jaya: Tindakan ‘gila’ apabila seorang pemandu pacuan empat roda menggunakan laluan motosikal untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

Tindakan lelaki berusia 30-an itu membawa padah apabila dia ditahan polis ketika melalui Lebuhraya Persekutuan berhampiran Sungai Way, di sini.

Pemandu kenderaan terbabit ditahan anggota polis yang terbabit dalam Op Selamat 11/2017 di lokasi itu jam 12.15 tengah hari semalam.

Timbalan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, sepasukan tiga pegawai dan 11 anggotanya menjalankan operasi di dua lokasi berasingan iaitu di lorong motosikal berhampiran Sungai Way menghala Kuala Lumpur dan lorong motosikal berhampiran simpang ke Lapangan Terbang Subang.

“Kami menahan pacuan empat roda dipandu lelaki tempatan yang memasuki lorong dibenarkan hanya untuk kegunaan motosikal

“Lelaki itu dipercayai cuba mengelak kesesakan lalu lintas dan menggunakan lorong motosikal yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, lelaki itu disaman atas kesalahan berkenaan.

Selain itu, katanya, sebanyak 83 saman dikeluarkan secara keseluruhan dalam operasi itu merangkumi pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, abai isyarat lalu lintas dan kesalahan lain.

“Sebanyak 210 kenderaan diperiksa termasuk 80 motosikal dan selebihnya kenderaan lain dalam operasi itu,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 6:47am
d