mutakhir

84 kanak-kanak teruja selusuri dunia sains

Kuala Lumpur: Pengalaman menyelusuri pengembaraan dunia sains antara kenangan manis buat 84 kanak-kanak yang terdiri daripada anak yatim dan golongan kurang bernasib baik apabila mereka berpeluang mengikuti lawatan sambil belajar itu di The Discovery Centre, Petrosains, di sini, semalam.

Malah, kebanyakan mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke pusat sains berkenaan begitu teruja dan terpegun dengan kecanggihan teknologi yang dipamerkan menerusi persembahan sains oleh fasilitator Petrosains.

Program anjuran Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan kerjasama Petrosains Sdn Bhd itu memberi peluang kepada anak yatim dan golongan kurang bernasib baik dari Sekolah Kebangsaan Binjai dan Pusat Jagaan Nur Ekhwan Ku, Klang, Selangor untuk mempelajari sains dengan lebih mudah menerusi beberapa kaedah dan program yang disediakan.

Ketua Pegawai Operasi BIMB Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata, aktiviti seumpama itu adalah tanggungjawab sosial pihaknya dalam membantu golongan kurang bernasib baik dengan menjadikan pendidikan sebagai teras utama perubahan.

Beliau berkata, BIMB proaktif dalam menaja beberapa program khusus di kalangan anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal supaya dapat mengubah kehidupan masing-masing ke arah lebih baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata, kerjasama strategik terbabit sudah menjangkau usia tiga tahun dan hasilnya begitu baik apabila ramai kanak-kanak celik sains dilahirkan.

“Kami mahu anak yatim dan golongan kurang bernasib baik tidak menjadikan kesusahan hidup sebagai penghalang untuk mengecapi cita-cita terutama membabitkan bidang pendidikan,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 6:49am
d