mutakhir

Sampai beg koyak

Pune (India): Saya berangkat menuju bandar dikenali Ajanta 400 kilometer (km) ke utara Pune, dan seperti dijangkakan, jalan yang teruk menambahkan cabaran pengembaraan ini.

Teruk yang saya maksudkan bukanlah penat semata-mata, tetapi permukaan jalan berlubang menyebabkan perjalanan menjadi sukar sehinggakan baru saya sedar, beg yang saya bawa terkoyak sewaktu tiba di Ajanta.

Bandar yang berkepadatan penduduk sekitar 10,000 orang ini adalah bandar pertama di India yang mendapat pengiktirafan dari UNESCO kerana tinggalan sejarah terutama guanya.

Hampir separuh penduduk bandar ini beragama Islam dan kebanyakannya bertani serta berniaga menjadikan sekitarnya sesak dengan manusia, pemandangan biasa di mana-mana saja sepanjang tiga hari bermotosikal ke sini dari Pune.

Tidak mahu menimbulkan masalah lain, saya kemudiannya singgah membaiki beg yang rosak di pasar atau lebih dikenali bazar di situ dan dapat melihat pelbagai ragam penduduknya, memang unik.

Rugi kalau saya tidak merasai pengalaman berbuka puasa di sini dan saya memilih murid sekolah untuk bersama-sama merasai juadah tempatan dan mereka sungguh mesra.

Setakat ini perjalanan lancar mengikut jadual dan hari ini (semalam), saya menuju sebuah pekan dikenali sebagai Udaipur sejauh 700 kilometer dari Ajanta.

Bahang panas terik mula terasa dan saya perlu bersedia untuk cabaran itu kerana suhu di sekitar kawasan ini adalah kira-kira 45 hingga 47 darjah Celsius dan saya perlu menunggang dalam tempoh 14 jam.

Perjalanan dimulakan seawal 6 pagi untuk memastikan saya sampai sebelum malam, yang pastinya akan lebih menyukarkan saya kerana ia membabitkan faktor keselamatan.

Rancangan saya selepas itu ialah menuju ke Jaipur yang mengambil masa tujuh jam setengah sejauh 400 kilometer sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya yang akan saya kemas kini nanti.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 6:50am
d