mutakhir

PM, isteri lawat pasangan OKU

Kodiang: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa melawat pasangan warga emas OKU, Osman Jusoh, 77 dan isterinya, Siti Zabedah Saidin, 69 di Kampung Kodiang Luar, di sini, semalam.

Anak tunggal pasangan terbabit, Intan Zulina Osman, 31, berkata, ibu dan bapanya itu menghadapi masalah pendengaran menyebabkan mereka tidak dapat mendengar dengan sempurna, namun kesudian Perdana Menteri dan isteri melawat ibu bapanya menyebabkan dia begitu terharu.

“Kehadiran Perdana Menteri ini sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada ibu bapa saya.

“Saya ada dimaklumkan mengenai kehadiran Perdana Menteri pada Sabtu lalu oleh seorang wakil daripada kampung ini, tetapi tidak menyangka beliau benar-benar akan tiba di rumah kami ini,” katanya ditemui di rumahnya di Kodiang, semalam.

Intan Zulina menyara ibu bapanya dengan berniaga nasi lemak di kampung itu dengan pendapatan antara RM50 hingga RM80 sehari, manakala ibunya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan.

Sementara itu, Najib dan isteri yang tiba jam 6.35 petang meluangkan masa selama 10 minit melawat kedua-dua warga emas berkenaan.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 7:08am
d