mutakhir

100 sertai Larian Obor Kuala Lumpur 2017

Oleh Aizat Sharif

HAMPIR 100 peserta menyertai Larian Obor Kuala Lumpur 2017 sempena Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 atau KL2017 yang meneruskan siri jelajah yang tiba di daerah Kota Setar, malam tadi.

Daerah Kota Setar yang turut merangkumi Bandar Raya Alor Setar menjadi destinasi ketiga di Kedah selepas Jerlun dan Langkawi yang bermula sejak Sabtu lalu.

Larian obor itu bermula pada 11.30 malam sejauh 3.2 kilometer dari Dataran Wisma Darulaman menuju ke Menara Alor Setar dengan acara penyerahan obor antara Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Kedah, Datuk Aminuddin Omar kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah kemudian menyerahkan obor kepada wakil Pegawai Daerah Kuala Muda, Junaidi Abdul Rani.

Acara turut disertai bekas penjaga gol dan pemain bola sepak Kedah, Ahmad Sobri Ismail, Farouk Ismail dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Selain itu, legenda sepak takraw tanah air, Adnan Saidin dan bekas atlit olahraga kebangsaan, Romzi Bakar turut menyertai larian berkenaan.

Ahmad Bashah berkata, larian obor itu secara tidak langsung memberi promosi kepada Kedah kerana negeri itu bakal menjadi lokasi untuk salah satu acara sukan.

"Kita berasa bangga kerana Pulau Langkawi bakal menjadi 'venue' pertandingan untuk acara sukan perahu layar.

"Paling penting kita mahukan sokongan dan doa rakyat Malaysia supaya kita selaku tuan rumah menjadi juara keseluruhan pada temasya ini nanti," katanya.

Jelajah larian terakhir di negeri ini akan dimulakan di daerah Kuala Muda hari ini sebelum obor diserahkan kepada wakil Pulau Pinang.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 7:52am
d