mutakhir

Tak sempat jual [METROTV]

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Sindiket pengedaran dadah yang menggunakan modus operandi menyembunyikan heroin dalam bonet kereta sebelum diedarkan, berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, berkata, rampasan heroin seberat lebih empat kilogram itu adalah yang terbesar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Rampasan itu dibuat hasil soal siasat ke atas empat suspek berusia antara 26 dan 35 tahun yang ditahan dalam serbuan pertama di Kampung Sungai Batu, Simpang Bukit Malut, di sini.

“Suspek utama berusia 26 tahun membawa polis ke rumah keluarganya di Kampung Kuala Teriang di sini, sebelum polis menemui lebih empat kilogram dadah heroin disembunyikan dalam bonet kereta,” katanya pada sidang media di IPD Langkawi di sini, semalam.

Che Ghazali berkata, selain heroin yang dirampas pada serbuan kedua, polis turut merampas 24 paket plastik lut sinar mengandungi syabu 97.5 gram (g) dan heroin 37.0g serta 170 pil Eramin 5 pada serbuan pertama.

“Polis turut merampas wang tunai RM7,500 dipercayai hasil jualan dadah dan 11 unit telefon bimbit milik keempat-empat suspek dan nilai keseluruhan rampasan RM100,000,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari dan hasil ujian saringan air kencing mendapati masing-masing dua daripada mereka positif dadah methamphetamine dan morfin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan, manakala wang tunai yang dirampas disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Polis percaya dadah itu cuba diedar suspek terbabit kepada lebih 2,000 penagih di sekitar Kuah dan Kuala Teriang di sini,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 10:12am
d