mutakhir

Tak pulang sampai sekarang

Oleh Junaidi Ladjana

TIGA nelayan dikhuatiri lemas selepas keluar menangkap ikan di laut di perairan Kuala Abai, Kota Belud, awal pagi hari ini.

Mangsa iaitu Mada Airullah, 32, Jemol Jumat, 26, dan Sharin Nurdin, 16.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan orang hilang di laut pada jam 1.07 tengah hari ini.

"Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bersama orang awam menaiki bot mencari mangsa di kawasan laluan muara Kampung Gayang, dekat sini.

"Sehingga kini, ketiga-tiga mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat giat dilakukan," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian disedari oleh ahli keluarga ketiga-tiga mangsa selepas mereka belum pulang ke rumah sejak pagi hari ini.

"Ketiga-tiga mangsa keluar menangkap ikan di perairan Kuala Abai, dekat sini, kira-kira 2 pagi dan sepatutnya pulang jam 9 pagi ini.

"Namun sehingga kini mangsa belum pulang sebelum ahli keluarga membuat laporan kepada pihak berkuasa," katanya.

Katanya, operasi SAR kini giat dijalankan dan pos kawalan bomba dibuka di bawah jambatan Kampung Terayung, Tuaran.

Operasi SAR turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 4:29pm
d