mutakhir

85 dikenakan tindakan sejak kelmarin

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 85 pemandu bas dikenakan tindakan selepas melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Hari Raya Aidilfitri (Op Hari Raya Aidilfitri) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara sejak dilancarkan kelmarin.

Pengarah Penguatkuasa JPJ, Datuk V Valluvan berkata, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan terhadap lebih 2,200 bas di seluruh negara sejak operasi itu dilancarkan dua hari lalu.

"Dalam tempoh dua hari operasi itu dijalankan, seramai 85 pemandu bas dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan seperti menggunakan telefon bimbit, merokok ketika memandu dan memandu lorong paling kanan.

"Daripada jumlah itu, dua pemandu bas berusia 30-an didapati positif dadah jenis syabu dan morfin dalam operasi dijalankan masing-masing di Shah Alam, Selangor dan Nibong Tebal, Pulau Pinang," katanya selepas membuat pemantauan Op Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, hari ini.

V Valluvan berkata, pihaknya turut menyediakan talian aduan kepada orang ramai untuk melaporkan kesalahan pemandu bas melalui nombor WhatsApp, 011-51115252.

"Melalui kemudahan ini, orang ramai boleh menyalurkan maklumat secara terus kepada anggota JPJ bertugas yang akan melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan sebaik menerima aduan.

"Orang ramai digalakkan untuk menyertakan maklumat seperti nombor pendaftaran bas, gambar, lokasi dan masa kejadian dalam mesej terbabit," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan larangan kenderaan berat berada di jalan raya pada 23 dan 24 Jun serta 1 dan 2 Julai nanti.

"Bagi memastikan kelancaran trafik, kenderaan berat dilarang memasuki jalan raya pada tarikh berkenaan.

"Sekiranya ada di antara pihak yang berdegil, tindakan tegas akan diambil dengan menyita kenderaan itu serta merta," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 5:46pm
d