mutakhir

Ubah teraju FGV tak jejas siasatan

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

PERUBAHAN kepimpinan dalam FELDA Global Ventures Holdings Berhad tidak menjejaskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, siasatan pihaknya adalah bebas dan tidak terikat dengan sebarang perubahan dalam kerajaan dan FGV.

"Perkara itu tidak ada masalah kerana siasatan dilakukan seperti biasa berdasarkan keterangan dan maklumat yang kita ada.

"Kita tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak dalam melakukan siasatan kes ini kerana kita adalah badan bebas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah Kerajaan Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

Majlis itu dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan pengarah jabatan serta agensi kerajaan negeri.

Dzulkifli berkata, pihaknya sudah merakamkan keterangan lebih 60 saksi sejak siasatan terhadap syarikat itu dimulakan minggu lalu.

"Kita akan melakukan siasatan berdasarkan bukti serta keterangan yang diperoleh dan siasatan kita adalah bebas dari sebarang perubahan yang dilakukan kerajaan dalam FGV.

"Kita cuba untuk menyelesaikan siasatan secepat mungkin sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam untuk tindakan lanjut," katanya.

Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila bekas Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad dan Lembaga Pengarah syarikat itu mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad; Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim untuk bercuti 6 Jun lalu.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 8:14pm
d