mutakhir

Kos fasa kedua Forest City RM1.2 bilion

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

COUNTRY Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), pemaju utama pembangunan Forest City kini dalam pembinaan fasa kedua projek mega itu yang meliputi sebuah hotel dan tiga padang golf yang semuanya menelan belanja RM1.2 bilion.

Fasa kedua itu juga akan menempatkan pusat pengurusan kesihatan Taiwan yang dikendalikan MJ Group dan sebuah sekolah antarabangsa, Shattuck-St Mary's Forest City.

Ketua Pegawai Strategi CGPV, Dr Yu Runze berkata, apa yang lebih menarik dalam pembangunan fasa kedua Forest City itu adalah pembinaan tiga padang golf dengan setiap satunya meliputi 18 lubang yang mana satu daripada padang golf itu mendapat sentuhan rekaan pemain golf anak beranak terkenal dunia, Jack Nicklaus dan Jack Nicklaus II.

"Fasa kedua ini meliputi keluasan 800 hektar termasuk hotel lima bintang dengan 306 bilik itu.

"Jack Nicklaus dan Jack Nicklaus II dipilih menjadi pereka bagi satu daripada padang golf yang bakal menjadi tarikan utama dalam fasa kedua Forest City ini," katanya ketika sidang media di Galeri Jualan, Forest City, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

Turut hadir, Jack Nicklaus II dan Pengerusi Persatuan Golf Pelancongan Johor (JGTA), Kolonel (B) Mohd Jamal Salleh.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 8:39pm
d