mutakhir

Ajal dirempuh van

Oleh Rosliza Mohamed

SEORANG pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas motosikal ditunggang dirempuh van dalam kejadian di Kampung Tok Kambing, Kota Bharu, hari ini.

Kemalangan kira-kira 2 petang itu menyebabkan mangsa Hassan Yaacob, 61, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu Asisten Superintendan Hamizon Che Harun berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Kota Jembal menghala ke Binjai.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah van dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah bertentangan, hilang kawalan dan memasuki laluan mangsa.

"Motosikal mangsa gagal mengelak lalu dirempuh van terbabit menyebabkannya tercampak ke laluan bertentangan dan mengalami cedera parah di kepala.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu van tidak cedera," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 9:20pm
d