mutakhir

Terminal feri Hutan Melintang tumpuan warga Indonesia

Oleh BERNAMA

KIRA-KIRA kira 1,000 warga Indonesia bertumpu di Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang, Bagan Datuk, bagi menaiki feri pulang ke kampung bagi menyambut Lebaran.

Feri akan menurunkan penumpang di Pelabuhan Teluk Nibung di Tanjung Balai, Sumatera Utara, selepas perjalanan lima jam dengan tambang sekitar RM220 seorang, tidak termasuk caj barang serta cukai jeti.

Turut bersesak-sesak di jeti ialah rakyat tempatan Siti Jutiah Ahmad Nawawi, 23, yang mahu menyambut Lebaran bersama keluarga sebelah ibunya Yuliani, 46, pemegang taraf penduduk tetap (PR) Malaysia.

"Saya, ibu dan dua adik menyambut Syawal di Pengkalan Brandan, Sumatera Utara, selama seminggu," katanya yang tinggal di Ipoh.

Bagi Suparjo Rustam, 62, yang bekerja di Klang, Selangor, menyambut 1 Syawal di tempat sendiri lebih bermakna selepas sekian lama meninggalkan keluarga bagi mencari rezeki di Malaysia.

Ditanya mengapa dia tidak menggunakan Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga di Pelabuhan Klang, dia berkata menaiki feri di Terminal Hutan Melintang lebih selesa dan tidak sesak.

“Saya lebih rela datang ke sini yang mengambil masa kira-kira tiga jam daripada bersesak-sesak. Orang tua macam saya sudah tidak boleh berdiri lama dan bersesak-sesak," katanya.

Pekerja ladang Eddy Shahputra dan Pahluis Lubis dari Sumatera Utara berkata, Aidilfitri waktu terbaik untuk pulang melawat saudara-mara dan sahabat handai bagi memohon maaf.

Pegawai Keselamatan Kemudahan Pelabuhan (MFSO), Abdul Aziz Shukor, bagaimanapun berkata Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang mencatat penurunan jumlah penumpang hampir 90 peratus kali ini berbanding tahun sebelumnya.

"Mengikut statistik antara Januari hingga Jun 2016, kemasukan warga asing menggunakan lokasi ini sekitar 39,000 orang, namun dalam tempoh yang sama tahun ini, hanya sekitar 3,000 orang.

“Lazimnya mereka bersesak-sesak untuk pulang pada saat akhir tapi tahun ini lain pula ceritanya," katanya yang memberitahu operasi di terminal itu akan ditutup mulai esok sehingga 2 Julai.

Beliau berkata antara sebabnya penurunan jumlah pengguna mungkin berpunca daripada feri yang datang dari Tanjung Balai tidak mengikut jadual perjalanan sehingga menyebabkan penumpang beralih ke terminal lain.

Feri ke Tanjung Balai berlepas setiap Selasa, Khamis dan Sabtu manakala ketibaan feri dari sana ialah pada Isnin, Rabu dan Jumaat.

Delegasi kedutaan Indonesia di negara ini yang diketuai Kaunselor Menteri Informasi, Sosial dan Kebudayaan, Trigustono Supriyanto turut meninjau keadaan di jeti itu hari ini.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 9:50pm
d