mutakhir

Pilunya...

Oleh Rosli Ilham

HAJAT suami isteri mahu berkumpul dengan anak, menantu serta cucu di rumah mereka pada Aidilfitri nanti tidak kesampaian apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Jengal, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, pasangan berkenaan dipercayai kerugian lebih RM300,000 selepas gagal menyelamatkan sebarang harta benda termasuk persiapan untuk menyambut Aidilfitri.

Che Wan Mariam Che Wan Abdullah, 65, berkata, dia sudah membuat persiapan untuk menyambut kepulangan ahli keluarganya yang akan pulang beraya.

"Semua 12 anak, menantu dan 25 cucu semuanya sudah menyatakan hasrat mereka mahu beraya bersama-sama di rumah ini dan bukan mudah untuk mengumpulkan seluruh keluarga pada Aidilfitri.

"Saya begitu seronok menanti detik itu dan segala persiapan sudah dibuat dan barangan dapur sudah dibeli. Saya juga turut berpesan kepada setiap anak supaya membeli dua ekor ayam untuk dijadikan juadah pada pagi raya.

"Bagaimanapun, Allah tidak mengizinkan kami beraya di rumah ini selepas rumah yang dibina hasil titih peluh pencarian saya dengan suami musnah sekelip mata," katanya.

Menurutnya, walaupun kehilangan rumah tetapi dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat memandangkan tiada sesiapa di kediaman itu ketika kejadian.

"Suami saya lumpuh sejak 14 tahun lalu akibat angin ahmar dan petang semalam juga dia beriya-iya ingin berbuka puasa di rumah anak kami di Kemaman.

"Jadi kami pergilah ke rumah anak itu dan pagi tadi dikejutkan dengan berita rumah kami terbakar," katanya.

Che Wan Mariam berkata, sekiranya hanya dia dan suami berada di rumah ketika kejadian tentunya sukar untuk menyelamatkan diri kerana keadaan suaminya yang uzur.

"Memang sedih dengan musibah ini tetapi kami reda kerana ini ujian dariNya dan sekarang saya tidak tahu beraya di mana tetapi tetapi mahu beraya di kampung ini.

"Mungkin juga kami akan menumpang di rumah anak atau saudara lain yang tinggal berdekatan," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS) Jas Wari Awang@ Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.44 pagi dan bergegas ke lokasi.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian didapati kebakaran itu membabitkan sebuah rumah jenis kekal.

"Dua jentera dengan kekuatan 12 anggota terbabit dalam operasi pemadaman itu dan kebakaran dapat dikawal dalam masa 30 minit serta berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 11.05 pagi.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum diketahui kerana siasatan lanjut sedang dilakukan," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 9:51pm
d