mutakhir

Kedai emas dirompak, pengawal keselamatan cedera

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KEDAI emas dalam pasar raya di Tampoi, Johor Bahru, dirompak empat lelaki bersenjata api dalam kejadian kira-kira 7.50 malam hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan turut terkena tembakan di paha, namun dilaporkan dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

"Suspek terdiri daripada empat lelaki yang belum dikenal pasti dan mereka bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi.

"Sejumlah barang kemas berjaya dilarikan, namun jumlah kerugian belum dapat diketahui," katanya.

Beliau berkata, selaras senapang patah milik pengawal keselamatan itu juga turut dilarikan suspek dalam kejadian yang berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minit itu.

Menurutnya, polis kini masih menjalankan siasatan dan Op Tutup serta Op kesan sedang dijalankan di seluruh negeri untuk mengesan suspek.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) dan samun berkawan menggunakan senjata api," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 11:22pm
d