mutakhir

'Magnet' ilmu [METROTV]

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Sejak penubuhan Pondok Pengajian Ilmu Wahyu lima tahun lalu, penduduk di Merlimau, Melaka dapat merasai perubahan yang menyentuh hati dan ke arah lebih baik.

Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka, Mahani Ismail, 47, yang juga jemaah surau pondok itu berkata, dulu kehadiran penduduk ke masjid atau surau sekitar sangat sedikit.

Tetapi katanya, penubuhan pondok di bawah kendalian generasi muda yang dipimpin Ustaz Noramin Said, berjaya menarik kehadiran orang ramai mendekati surau, sekali gus menegakkan syiar Islam.

“Kehadiran pondok ini dalam masyarakat memberi harapan baru kepada masyarakat dengan pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah, kuliah mingguan serta aktiviti luar.

“Malah kehadiran orang ramai melimpah hingga ke luar surau ketika pengajian kitab mingguan,” katanya.

Menurutnya, pondok yang memberi ruang pembelajaran kepada orang dewasa, selain pelajar itu perlu diperkasakan kerana menyeimbangkan tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Rambai Rozaimi Rozali, 47, pula berkata, penubuhan pondok itu sangat diraikan penduduk kampung dengan bersama mengimarahkan pelbagai aktiviti diadakan.

“Pembangunan pondok ini amat drastik daripada surau kepada beberapa bangunan lain yang selesa dan luas.

“Penduduk menyumbang dan bergotong-royong menyediakan juadah untuk kenduri, menyertai program korban berkelompok serta umrah bersama Ustaz Noramin,” katanya.

Katanya, pondok itu banyak memberi manfaat kepada masyarakat untuk mempelajari ilmu agama dan ilmu lain seperti cara sembelihan mengikut syarak serta aktiviti sukan sunah seperti memanah, berkuda dan berenang.

Disiarkan pada: June 21, 2017 @ 7:58am
d