mutakhir

Persimpangan Bertingkat Bandar Tasik Puteri dibuka

Oleh Idris Musa

PENDUDUK Bandar Tasik Puteri menerima 'hadiah hari raya' daripada Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR) apabila Persimpangan Bertingkat Bandar Tasik Puteri yang ditunggu-tunggu selama ini mula dibuka, hari ini.

Persimpangan itu tentunya memberi banyak kemudahan kepada kira-kira 60,000 penduduk di Bandar Tasik Puteri dan kawasan sekitarnya kerana menjimatkan masa dan mengelakkan daripada kesesakan.

Pengerusi KL-Kuala Selangor Expressway Berhad, Datuk Ir Mohamad Razali Othman berkata, persimpangan yang dibuka bagi laluan terus penduduk dan orang awam itu siap enam bulan lebih awal dari tarikh jangkaan.

Menurutnya, walaupun ia membabitkan jalan masuk sepanjang 500 meter, pihak LATAR tidak mengenakan sebarang bayaran tol tambahan.

"Persimpangan ini menjadi akses terus ke Lebuhraya LATAR dan dapat menyelesaikan masalah kesesakan trafik di Bandar Baru Kundang serta jalan Rawang-Batu Arang.

"Ini satu alternatif kepada penduduk. Saya rasa persimpangan ini juga hadiah hari raya kepada penduduk Bandar Tasik Puteri," katanya pada majlis perasmian pembukaan persimpangan itu.

Upacara perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob yang mewakili Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Persimpangan Bertingkat Bandar Tasik Puteri mempunyai laluan empat lorong yang dibina dengan menggunakan peruntukan Dana Mudahcara bawah inisiatif kerajaan melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sebanyak RM71.4 juta.

Sementara itu, Ali dalam teks ucapan dibacakan oleh Zohari berkata, beliau melihat komitmen berterusan daripada LATAR dengan menunaikan apa yang telah dijanjikan.

Menurutnya, selepas ini penduduk tidak lagi mengalami kesesakan, malah akan dapat menikmati laluan yang lancar dan terus ke LATAR.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan LATAR kerana dapat menyiapkan projek ini dengan jayanya. Kejayaan ini satu lagi bukti keberkesanan kerjasama awam swasta dalam pembangunan infrastruktur.

"Syabas kepada pihak LATAR yang merealisasikan projek ini terutama apabila saya difahamkan ianya siap enam bulan lebih awal dari tarikh jangkaan. Ini jelas menunjukkan LATAR amat komited dalam memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2017 @ 9:13pm
d