mutakhir

Ajal dihempap pokok tumbang

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PENUNGGANG motosikal maut selepas dihempap pokok tumbang di kawasan Pelabuhan Kuantan, Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 5.20 petang itu, mangsa Ab Aziz Jusoh, 54, disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas dibawa keluar daripada timbunan dahan kayu oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, siasatan awal mendapati pokok berkenaan menghempap motosikal model Modenas Kriss dan Perodua Viva.

"Mangsa (penunggang motosikal) tidak sempat menyelamatkan diri selepas pokok itu tumbang dan mengenainya manakala dua lagi mangsa iaitu penumpang Perodua Viva sempat keluar daripada kereta," katanya.

Difahamkan kejadian berlaku disebabkan hujan lebat dan angin kencang kira-kira jam 5 petang tadi di sekitar lokasi kejadian.

Anuar berkata, mayat mangsa kini diserahkan kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat dan waris sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, kejadian turut dimaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat 7.43 malam hari ini.

Disiarkan pada: June 21, 2017 @ 9:56pm
d