mutakhir

'Kotak Rezeki cukup bantu kami'

Nibong Tebal: “Kami sentiasa menunggu kehadiran #HMKotakRezeki2017 selepas kali pertama menerimanya tahun lalu,” kata seorang pegawai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS) ketika ditemui selepas penyerahan kit berbuka puasa ringkas berkenaan, semalam.

Katanya, tahun lalu dia menerima Kotak Rezeki ketika bertugas pada awal pagi dan bersahur dengan memakan kurma, roti serta minuman disediakan dalam Kotak Rezeki itu.

Menurutnya, tahun ini dia menunggu kotak berkenaan sehinggalah penyampaian dilakukan wartawan Harian Metro Pulau Pinang Shamsul Munir Safini.

“Anggota trafik ada kalanya terpaksa bertugas pada waktu berbuka dan sahur bagi mengawal lalu lintas.

“Ada kalanya kami tidak dapat membungkus juadah berbuka dan bersahur, Kotak Rezeki ini cukup membantu kami,” katanya.

Pada majlis itu, 100 #HMKotakRezeki2017 diserahkan kepada Ketua Balai Polis Nibong Tebal Asisten Superintendan Mulkiaman Manzar yang mewakili Ketua Polis Daerah SPS Superintendan Shafee Abd Samad.

Disiarkan pada: June 22, 2017 @ 7:31am
d