mutakhir

Ibu, anak ajal bersama

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

GURU wanita dan anak lelakinya maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 50 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Batu 29, Sungai Tong, dekat Permaisuri kira-kira 1 tengah hari, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota yang dinaiki mangsa tiga beranak masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda jenis Isuzu berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, dalam kemalangan itu, Noraida Jalil, 37, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Langkap dan anak lelakinya, Ahmad Zahirruddin Ahmad Zaini, 8, maut di tempat kejadian.

"Seorang lagi anak lelaki mangsa berusia lima tahun yang turut menaiki kenderaan itu parah dan masih menerima rawatan di Hospital Setiu.

"Pacuan empat roda itu dinaiki enam orang termasuk pemandu kenderaan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, seorang kenalan mangsa memaklumkan arwah adalah guru pendidikan khas di sekolah itu dan baru sahaja bertugas di situ kira-kira enam bulan lalu.

Disiarkan pada: June 22, 2017 @ 6:29pm
d