mutakhir

1,129 saman trafik dikeluarkan

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Sebanyak 1,129 saman trafik dikeluarkan di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan sepanjang 5 hari Op Selamat berlangsung sejak 18 Jun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Urusetia Kawalan Lalulintas Trafik Bukit Aman Superintendan Gan Chip Pho, merangkap Komander Operasi Op Selamat bagi Zon Selatan, berkata, jumlah saman itu meningkat sebanyak 770 kes berbanding tempoh lima hari pertama operasi, tahun lalu.

"Bagaimanapun bilangan kes membabitkan kehilangan nyawa, turun satu kes daripada 15 kes tahun lalu kepada 14 kes bagi tempoh sama tahun ini.

"Tahun lalu, Negeri Sembilamerekodkan tiga kes kemalangan maut membabitkan kehilangan empat nyawa, Johor lapan kes (lapan maut) dan Melaka tiga kes (tiga maut)," katanya, ditemui selepas melakukan pemeriksaan di Melaka Sentral dalam operasi lebih dua jam bermula jam 8.45 malam tadi.

Hadir sama, Ketua Negeri Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Anuar Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya akan mula melakukan Op Lancar sepanjang dua hari sebelum dan selepas hari raya, bagi memastikan kelancaran trafik ketika pengguna pulang ke kampung.

Menurutnya, bilangan trafik akan mula bertambah hari ini, berikutan sesi persekolahan sudah berakhir.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 12:26am
d