mutakhir

Banyak aduan pandu di lorong kecemasan

Oleh Fardy Bungga

ADUAN menerusi aplikasi WhatsApp yang dilancarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 18 Jun lalu sudah menerima 29 aduan di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 22 aduan yang dibuat adalah membabitkan kesalahan menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya dan mereka yang terbabit sudah disaman.

Katanya, pihaknya menyambut baik pembabitan orang ramai dalam menyalurkan maklumat sekali gus membantu mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemat dan memandu mengikut peraturan.

"Terima kasih dan syabas kepada rakyat Malaysia yang membantu JPJ dalam menyalurkan maklumat untuk tindakan segera,"katanya pada sidang media selepas operasi sekatan jalan Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) di LRT Bangsar, semalam.

Sementara itu, Nadzri berkata, sepanjang empat hari pelancaran Ops HRA, pihaknya sudah memeriksa 1,954 motosikal di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 563 motosikal dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

"Jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan kepada penunggang motosikal adalah sebanyak 954 saman. Kita menumpukan kepada pemeriksaan motosikal kerana ia adalah penyumbang tertinggi kadar kemalangan di negara ini,"katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 1:01am
d