mutakhir

Pilihan utama

Oleh Faliq Lajim

Pelabuhan Klang: Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga Harbour City, di sini, mulai sesak dengan ribuan warga Indonesia yang mahu pulang beraya ke kampung halaman masing-masing.

Pengangkutan itu dilihat terus menjadi pilihan utama mereka berikutan faktor tambang murah dan selamat untuk digunakan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Asa Niaga Datuk Shaari Mat Jirin berkata, pemerhatian pihaknya mendapati hampir 5,000 penumpang feri memenuhi terminal berkenaan menjelang hujung Ramadan ini.

“Sebelum ini kami hanya menerima sekitar 2,000 ke 3,000 penumpang.

“Jumlah itu bagaimanapun terus meningkat secara mendadak pada minggu terakhir ini,” katanya pada sidang media selepas program sumbangan bubur lambuk dan kurma di terminal itu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Kastam Selangor Datuk Sarip Ismail.

Tinjauan Harian Metro mendapati terminal itu mula sesak seawal jam 9 pagi untuk membawa ribuan penumpang ke Tanjung Balai, Asahan atau Dumai, Indonesia yang mengambil tempoh perjalanan selama lima jam.

Kata Shaari, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan feri tambahan berikutan menerima lebih 2,000 penumpang yang membeli tiket secara terus di kaunter.

“Pada hari biasa, kami menyediakan lima ‘trip’ (perjalanan) sehari namun ia kini meningkat sehingga lebih 10 perjalanan sehari.

“Setiap bot itu boleh membawa 300 hingga 400 penumpang,” katanya.

Sementara itu, warga Indonesia yang dibawa khas untuk menjadi imam solat Tarawih di Senawang, Negeri Sembilan, Zulkifli Abdullah, 24, berkata dia menggunakan perkhidmatan feri itu untuk pulang beraya di Medan sejak empat tahun lalu.

“Setiap tahun, saya akan dipanggil untuk mengimamkan solat Tarawih di sebuah masjid dan sememangnya amat berpuas hati dengan perkhidmatan feri di negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 6:49am
d