mutakhir

Meraung minta bebas

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Meraung sedih dan minta dibebaskan dengan alasan mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan anak yang masih kecil.

Itu antara alasan ‘air mata’ seorang wanita warga asing yang menangis serta merayu dilepaskan sejurus ditahan pihak berkuasa kerana didapati bekerja tanpa permit sah di negara ini.

Bagaimanapun, aksi menyayat hati ditunjukkan wanita berusia 30-an itu masih gagal mengelak dia daripada ditahan anggota Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) yang melakukan operasi di sekitar Jalan Masjid India di sini, kelmarin.

Operasi Op Bazar Ramadan bermula jam 7 malam itu dilakukan 26 anggota termasuk pegawai JIMWPKL.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah JIMWPKL S Sanpall yang mengetuai operasi berkenaan berkata, seramai 74 individu diperiksa termasuk pekerja gerai di bazar berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menahan seramai 18 warga asing termasuk lapan wanita berusia 20 hingga 45 tahun selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dilakukan oleh warga asing yang ditahan ialah tiada dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa di negara ini, menggunakan pas palsu dan salah guna pas lawatan sosial.

“Semua yang ditahan itu membabitkan warga negara Indonesia, Myanmar dan Pakistan serta India,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, semua individu warga asing terbabit dibawa ke pejabat JIMWPKL untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 56(1)(I) akta yang sama.

“Selain itu, kami turut menyiasat warga asing yang ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan 1963 atas kesalahan salah guna pas,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 6:52am
d