mutakhir

Biar Aidilfitri sentiasa berseri

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Seramai 8,800 petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk pekerja kontraktor bertugas sepanjang perayaan Aidilfitri bagi memastikan kelancaran bekalan elektrik pengguna.

Pengurus Besar Kanan Distribution Network, Bahagian Pembahagian Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, pekerja TNB akan bertugas secara tunggu sedia 24 jam bermula hari ini.

Menurutnya, TNB sudahpun melakukan persiapan awal bagi meminimumkan sebarang kemungkinan berlakunya gangguan bekalan elektrik sepanjang musim perayaan ini termasuk membuat pemeriksaan di semua stesen jana kuasa dan pencawang.

Selain itu, katanya, penambahbaikan kepada sistem pencawang bagi menampung jangkaan beban yang meningkat di sesetengah kawasan juga dilaksanakan sebaik-baiknya.

“Lebih 60 set jana kuasa bergerak dengan kapasiti antara 125KVA hingga 1,250KVA juga berada dalam siap sedia untuk digunakan sebagai punca bekalan alternatif, bergantung kepada keperluan.

“Bagi tujuan itu, kami menyerahkan permohonan menggunakan kenderaan berat kepada Jabatan Pengangkutan Jalan negeri bagi membolehkan kenderaan TNB menggunakan lebuh raya ketika tempoh larangan sepanjang musim perayaan nanti,” katanya.

Wan Nazmy turut menasihatkan pengguna untuk menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik sepanjang perayaan Aidilfitri.

Untuk warga kerja yang dijadualkan bertugas pada 1 Syawal, TNB membekalkan mereka dengan juadah raya yang disediakan oleh Persatuan Wanita Tenaga Nasional Malaysia (PELITAWANIS).

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 7:01am
d