mutakhir

Bekalan bimbing keluarga [METROTV]

Beaufort: Mahu menyambung legasi keluarga selain ingin mengajar ahli keluarganya sendiri mengenai al-Quran menyebabkan Zaid Alidad, 16, nekad mahu menamatkan pengajiannya dalam bidang hafiz sebelum menyambungnya ke peringkat tertinggi.

Menurut Zaid, dia mula masuk Madrasah Darus Sahabah di Kampung Bingkul, Beaufort, Sabah ketika berusia 14 tahun dan kini sudah berjaya menghafal sebanyak 22 juzuk al-Quran dalam tempoh dua tahun ini.

“Pada mulanya, memang susah sebab sebelum masuk ke madrasah, saya bersekolah biasa dan kurang mendalami bacaan al-Quran.

“Tetapi, saya tawakal dan hasil nasihat serta sokongan daripada keluarga terutamanya bapa dan abang, saya kini berjaya menghafaz 22 juzuk al-Quran setakat ini dan Insya-Allah akan menamatkannya pada tahun ini juga,” katanya.

Menurut anak bongsu daripada tujuh beradik itu, dia mahu masuk ke madrasah kerana menyedari bahawa tidak ramai ahli keluarganya boleh membaca al-Quran dengan baik.

“Dulu saya pun tidak tahu mengaji, malah dalam kalangan ahli keluarga saya bukan semua pandai mengaji. Pada masa sama, ketika di rumah bapa selalu nasihatkan supaya belajar mengaji.

“Jadi dengan masuk ke madrasah dan mempelajari al-Quran menerusi hafazan, mungkin selepas tamat pengajian sehingga ke kitab, satu hari nanti saya akan bantu mereka dengan ajar ilmu yang saya peroleh kepada ahli keluarga saya sendiri.

“Selain itu, saya masuk ke madrasah ini untuk diri sendiri kerana saya rasa seronok bila boleh mengaji sehingga 30 juzuk,” katanya.

Katanya, banyak cabaran terpaksa dilalui untuk menghafal namun dengan semangat dan minatnya dalam al-Quran, ia berjaya diharungi setakat ini.

“Setiap hari, saya akan membaca antara satu hingga dua muka surat untuk menghafal mengikut kemampuan diri dan apabila sudah berjaya hafal, saya akan gunakan surah itu dalam bacaan setiap kali solat supaya lebih mudah diingati.

“Selain itu saya akan membacanya berkali-kali untuk lebih diingati,” katanya.

Zaid berkata, buat masa ini dia sedang berusaha untuk menamatkan hafalan 30 juzuk al-Quran dan insya-Allah akan mengambil Syahadah dalam masa terdekat ini.

“Selepas tamat pengajian ini, saya akan ambil Syahadah iaitu selepas tamat khatam dengan menghafaz al-Quran (peringkat terakhir) dan ini yang dipanggil al-Hafiz sebagai syaratnya,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 7:14am
d