mutakhir

Syukur berkongsi kit berbuka

Tumpat: “Alhamdulillah, dapatlah kami berkongsi kit berbuka ini beramai-ramai,” kata Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Superintendan Mohd Pajeri Ali.

Beliau mengulas sumbangan #KotakRezeki2017 ketika pasukan itu bersama Unit Udara Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Perikanan Malaysia mengadakan operasi di Sungai Golok, kelmarin.

Operasi turut merangkumi rondaan di sepanjang sungai khusus bagi mengekang penyeludupan. Beberapa wakil Polis Marin Diraja Thailand turut serta dalam rondaan itu dan berkongsi maklumat dengan PPM.

Mohd Pajeri berkata, pihaknya sangat menghargai usaha Harian Metro bersama rakan penaja menganjurkan Kotak Rezeki yang membantu pihak keselamatan yang tidak sempat berbuka puasa.

“Alhamdulillah, pemberian ini dapat dikongsikan bersama beberapa agensi lain yang mana PPM sentiasa melakukan kerjasama dalam membanteras aktiviti penyeludupan ke negara ini.

“Usaha dilakukan Harian Metro menunjukkan akhbar ini menghargai usaha pasukan keselamatan bertugas dalam menjaga keamanan negara,” katanya.

#HMKotakRezeki2017 adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro dengan penaja utama Affin Bank Group dan Affin Islamic Bank. Sebanyak 11,000 kotak rezeki diagih di seluruh Semenanjung.

Turut menaja Pasaraya Giant, Watsons Malaysia, Yayasan Kesejahteraan Bandar Wilayah Persekutuan dan Richwell selain Lifebuoy, Massimo by The Italian Baker Sdn Bhd, Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Quaker, manakala Poslaju sebagai rakan kurier rasmi.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 7:27am
d