mutakhir

Teladan Tanah Suci

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Amalan terpuji yang dilakukannya di Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi Madinah setiap kali Ramadan mendorong wanita muda ini menjelajah ke beberapa negeri di Semenanjung menerusi Program Kembara Iftar Sufrah Haramain bagi memberi makanan percuma kepada golongan memerlukan.

Presiden HELP Ummah, Amera Sabrena Ahmad Sobri, 28, atau lebih mesra dengan panggilan Mak Aji berkata, sebelum ini setiap kali Ramadan dia dan suami yang juga Pengurus Tapak Projek Masjidil Haram, Hairul Nizam Baharuddin, 40, memberi makan secara percuma hasil sumbangan orang ramai kepada jemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Tahun ini kami berada di Malaysia atas sebab tertentu sebelum kembali ke Makkah selepas Aidilfitri. Jadi, agak ralat jika tidak membuat kembara ini menyebabkan kami mengambil konsep sama dengan memberi makan percuma di Malaysia.

“Untuk kembara pertama, kami edar 300 bungkus makanan dari rumah ke rumah untuk pelarian Rohingya di Langkawi seterusnya 200 bungkus makanan untuk guru Kafa Pejabat Agama Daerah Langkawi.

“Bagi menghargai jasa imam, kami memberi makan kepada 400 imam dan jemaah masing-masing di Masjid Ulu Melaka Langkawi dan Masjid Papan Permatang Pauh, Pulau Pinang seterusnya yang terakhir untuk 200 pelarian Afghanistan serta 150 penuntut Universiti Teknologi MARA, Shah Alam,” katanya di pusat penempatan pelarian Afghanistan di Ampang, dekat sini.

Amera Sabrena berkata, 90 peratus dana diterima adalah amanah daripada rakan di Facebook (FB) yang menyumbang untuk kembara berkenaan.

“Alhamdulillah, amanah mereka terlaksana dengan lima kembara yang diadakan berperingkat bermula di Langkawi dan diakhiri di Shah Alam serta Ampang.

“Duit RM15,000 sumbangan orang ramai saya manfaatkan sebaik mungkin dengan menyediakan nasi beriani, nasi lemak ayam berempah, kurma, biskut dan sebagainya kepada golongan memerlukan,” kata ibu seorang cahaya mata itu.

Menurut Amera Sabrena, menetap di Kota Suci Makkah menyuntik semangatnya mendekati dunia sukarelawanan dan menggunakan konsep sama di Malaysia.

“Kebanyakan masa saya diisi dengan membantu jemaah Malaysia yang berdepan kesusahan ketika musim haji dan umrah terutama mereka yang terkandas di sana akibat sakit.

“Saya menggunakan FB untuk meraih dana membantu jemaah Malaysia dan Alhamdulillah setakat ini semuanya berhasil,” katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, kedudukan rumahnya hanya 10 kilometer dari Masjidil Haram memudahkannya berulang-alik dan berhubung dengan ramai jemaah yang memerlukan khidmat bantuan setiap hari.

“Waris jemaah haji dan umrah biasanya menghubungi saya melalui FB untuk memaklumkan masalah dihadapi ibu bapa dan ahli keluarga mereka.

“Setiap kali mereka ada masalah saya membantu menggunakan medium FB,” katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin komuniti Afghanistan di Malaysia, Sultan Jan, 28, berkata, bagi pihak 1,600 komuniti Afghanistan di negara ini ber terima kasih kepada Amera dan suami yang memilih mereka untuk agihan makanan percuma.

“Tidak sangka komuniti kami dipilih menerima hadiah ini, Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan semua pihak yang menyumbang dana untuk mereka,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 7:29am
d