mutakhir

Peras ugut, 8 anggota trafik ditahan

Oleh Norizuan Shamsuddin

LAPAN anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya yang ditahan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Selasa lalu, berdepan tindakan digantung tugas susulan penemuan wang tunai disyaki hasil peras ugut warga asing.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata setakat ini kes berkenaan masih di dalam siasatan dan tindakan akan tegas akan di bil sekiranya terdapat bukti mereka melanggar integriti.

"Dalam serbuan itu, pasukan JIPS turut menemui sejumlah wang yang dipercayai diperoleh daripada cara yang tidak betul disyaki hasil peras ugut warga asing.

"Kita sedang siasat perkara itu dan sekiranya terbukti mereka melakukan kesalahan, kita akan dakwa di mahkamah dan selepas itu baru ambil tindakan menahan tugas.

"Buat masa ini, mereka menjalankan tugas seperti biasa. Kita tunggu dalam masa seminggu dua ini, jika hasil siasatan mendapati mereka terbabit secara serius dalam kegiatan itu, sudah tentu tindakan tatatertib akan diambil," katanya pada sidang media di Mes Pegawai Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Amer Awal memulakan tugas sebagai pemangku pengarah jabatan itu menggantikan Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman yang bersara wajib pada 28 Jun ini.

Sebelum itu, pada jam 11.50 malam Selasa lalu, sepasukan anggota JIPS Bukit Aman melakukan pemeriksaan di sebuah bilik di IPD Ampang Jaya susulan laporan oleh seorang lelaki warga Myanmar mendakwa anggota trafik meminta RM1,500 jika mahu rakannya warga Indonesia dibebaskan selepas ditahan kerana dokumen perjalanannya tamat tempoh.

Difahamkan hasil serbuan itu, polis turut merampas wang tunai lebih RM18,000 disembunyikan di bawah meja selain di dalam poket dan beg salah seorang anggota disyaki hasil pemerasan.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 4:24pm
d