mutakhir

Dijangka 12,000 sehingga esok

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KIRA-KIRA 12,000 warga Indonesia dijangka menggunakan Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Pontian, Johor untuk pulang ke negara mereka sempena cuti Aidilfitri sehingga esok.

Atase Perhubungan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI), Muhammad Abduh berkata, terminal feri itu yang berlepas terus ke Tanjung Balai, Karimun, Indonesia adalah yang paling menjadi tumpuan dan sehingga semalam, ia sudah mencatatkan kepulangan 7,000 warga republik itu.

"Malah, hari ini sahaja, sejak perjalanan feri pertama pada 6.45 pagi tadi, ia sudah mencatatkan 1,800 pengguna.

"Biarpun padat, namun kita lihat perjalanan warga Indonesia ini berjalan lancar dan semua yang mahu pulang dapat menaiki feri.

"In Shaa Allah, meskipun cuaca sekarang hujan, tetapi maklumat dari Jabatan Laut yang sudah membuat pemantauan cuaca mendapati, kapal dan feri ini masih boleh berlepas ke destinasi yang dituju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjalankan lawatan Pantauan Mudik Lebaran di Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Pontian, Johor, hari ini.

Lawatan pemantauan operasi feri bagi warga Indonesia pulang ke kampung halaman itu turut disertai Konsular KBRI, Yusron B Ambari; Atase Tenaga Kerja KBRI, Mustafa Kamal; Ketua Syahbandar Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan, Azman Mohd Ali; Pengarah Urusan Kukup Ferry, Rasiman Musiran dan Ketua Pegawai Operasi Kukup Ferry, Wahib Musiran.

Beliau berkata, setakat ini tiada penangguhan perjalanan dan setiap hari sembilan perjalanan dapat berjalan dengan lancar.

Bagaiamanapun, katanya, memandangkan esok adalah hari terakhir bagi kebanyakan orang ramai bercuti, perjalanan feri di terminal itu ditambah kepada 16 perjalanan sehingga 5 petang atau sehingga semua warga Indonesia dapat pulang ke negara mereka.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 4:27pm
d