mutakhir

Harimau kumbang mati dilanggar

Oleh Mohd Rafi Mamat

HARIMAU kumbang jantan seberat 60 kilogram ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan berat di Jalan Sungai Yu-Merapoh, Kuala Lipis, kira-kira lapan kilometer dari jejantas laluan haiwan liar atau Eco Viaduct Sungai Yu, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang Ahmad Azhar Mohammed berkata, pihaknya kini sedang menyiasat punca kejadian itu yang jarang berlaku di negara ini.

Katanya, pemeriksaan terhadap bangkai haiwan itu mendapati terdapat kecederaan serius pada beberapa bahagian badan termasuk kepalanya selepas dipercayai dilanggar kenderaan dipandu laju.

“Kemalangan membabitkan harimau kumbang dewasa itu adalah kali pertama dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan. Kejadian harimau kumbang mati dilanggar kenderaan jarang berlaku di negara ini kerana sifat haiwan itu bergerak begitu pantas terutama apabila diancam termasuk ketika melintas jalan.

"Saya tidak menolak kemungkinan kenderaan berat melanggar haiwan terbabit dipandu laju, kebetulan harimau kumbang itu melintas. Cahaya lampu kenderaan yang terlalu terang juga mungkin menyebabkan pandangannya terbatas.

Menurutnya, proses bedah siasat akan dilakukan PERHILITAN bagi mengetahui punca kematian harimau kumbang itu.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 4:43pm
d