mutakhir

Jual mercun online

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Lumpur: Kegiatan menjual mercun kini dikesan menggunakan media sosial sebagai platform bagi mengelak kegiatan dikesan pihak berkuasa.

Malah, mereka yang menjalankan kegiatan ini sekadar untuk mendapatkan wang tambahan turut menawarkan ‘harga runtuh’ kepada pelanggan dengan menyediakan pelbagai jenis mercun kerana kini persaingan menjual mercun sengit.

Tinjauan wartawan Harian Metro terhadap beberapa akaun milik individu yang menjual mercun di media sosial dengan harga serendah RM5 mengikut jenis mercun.

Beberapa penjual menyertakan gambar mercun dan nombor telefon serta alamat untuk memudahkan pelanggan mengambil pesanan mereka.

Mereka juga didapati menawarkan harga pakej bagi pelanggan yang membeli secara borong dengan menjual mercun terpilih seperti ketupat, merdeka dan bola dengan harga serendah RM150 hingga RM350.

Selain itu, pelanggan juga boleh memilih mercun yang dijual dalam bungkusan kecil dengan harga serendah RM5 hingga RM100 bergantung kepada kuantiti serta saiz mercun berkenaan dengan pembayaran dibuat secara tunai atau menerusi akaun bank.

Seorang peniaga mercun yang hanya dikenali sebagai Amran, 30, berkata, penjualan mercun secara dalam talian lebih mudah dan selamat berbanding menjualnya di tempat terbuka walaupun bersaing dengan penjual lain yang menggunakan kaedah sama.

“Ada banyak operasi dijalankan pihak berkuasa menyebabkan sukar untuk kami menjual mercun di tempat terbuka berbanding media sosial yang lebih mudah,” katanya.

Sementara itu, peniaga yang mahu dikenali sebagai Shah, 25, berkata, kesukaran menjual mercun di khalayak ramai menyebabkan dia mengambil keputusan menjual secara dalam talian.

“Sebelum ini, saya dan kawan tidak risau kerana tidak pernah ditahan pihak berkuasa sebelum ini. Namun, ada antara kami yang ‘kantoi’ menyebabkan saya membuka akaun Facebook dan Instagram bagi menjual barangan ini secara dalam talian,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 8:11am
d