mutakhir

Tarik wang

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Berpura-pura mahu menukar wang kepada not lebih kecil sebelum memperdaya pekerja kedai dan mengambil sebahagian wang berkenaan.

Itu taktik digunakan seorang lelaki sehingga menyebabkan sebuah kedai buku di pusat beli-belah, di sini, mengalami kerugian berjumlah RM600.

Pemiliknya, Arman Ahmad berkata, lelaki berkenaan datang ke kedainya pada Rabu lalu dan pergi ke kaunter menukar 15 keping wang not RM100 kepada not RM50.

Katanya, pekerjanya tidak mengesyaki apa-apa sebelum menukar dan menyerahkan wang seperti dikehendaki, namun dia memaklumkan tidak mahu wang not RM50 sebaliknya mahu menukarkan semua wang berjumlah RM1,500 itu kepada not RM10 pula.

“Ketika itu, lelaki berkenaan masih lagi memegang wang not RM50 yang pekerja saya serahkan sebelumnya. Namun sebaik dimaklumkan mesin juruwang tidak mempunyai wang sebanyak itu, lelaki berkenaan menyerahkan semula wang not RM50 kepada pekerja saya.

“Pekerja saya terus memasukkan wang berkenaan ke dalam mesin juruwang dan menyerahkan semula wang not RM100 kepada lelaki itu sebelum dia keluar dari kedai,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, dia menyedari ada sesuatu tidak kena apabila mahu menutup akaun kedainya pada sebelah malam dan mendapati akaun itu tidak seimbang sebelum bertanya kepada semua pekerjanya.

Arman berkata, semua pekerjanya tidak mengetahui bagaimana wang berkenaan tidak mencukupi sebelum seorang daripada mereka memaklumkan ada lelaki yang mahu menukar wang dalam kuantiti banyak pada sebelah petang hari kejadian.

“Sangsi dengan kejadian itu, saya memeriksa rakaman CCTV (kamera litar tertutup) dan mendapati lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu kelihatan menarik sebahagian wang RM50 ketika mahu diserahkan semula kepada pekerja.

“Tindakannya begitu pantas sehingga pekerja saya tidak menyedari tindak-tanduk lelaki berkenaan, ia satu penipuan,” katanya.

Berikutan itu, Arman membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Kuantan, di sini, kelmarin.

Dia turut memuat naik rakaman CCTV yang berdurasi tiga minit itu ke akaun Facebook (FB) miliknya sebelum tular dan ditonton lebih 152,000 kali serta dikongsi lebih 2,000 pengguna laman sosial berkenaan.

“Saya memuat naik rakaman itu bukan untuk mencari publisiti tetapi mahu memberi peringatan kepada orang lain supaya tidak tertipu dengan lelaki terbabit. Memang jumlah kerugian saya tidaklah banyak namun saya mahu orang lain berhati-hati.

“Difahamkan, beberapa premis dalam pusat beli-belah ini sudah menerima nasib sama. Apabila saya menunjukkan gambar lelaki berkenaan, mereka mengesahkan dia adalah orang yang sama,” katanya.

Menurutnya, itu pengalaman pertama sepanjang membuka kedai terbabit sejak lebih 20 tahun lalu di pusat beli-belah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan memaklumkan siasatan lanjut dijalankan.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 8:14am
d