mutakhir

Sesak balik seberang

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Pontian: Kemeriahan berhari raya di kampung halaman turut dirasai 1.3 juta warga Indonesia yang mencari rezeki di negara ini, malah mereka tidak melepaskan peluang untuk pulang ke republik itu pada hari terakhir Ramadan.

Pada masa sama, sehingga 12,000 warga Indonesia dijangka menggunakan Terminal Feri Antarabangsa Kukup, di sini, untuk pulang ke kampung halaman sejak seminggu lalu.

Atase Perhubungan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Muhammad Abduh berkata, terminal feri yang menyediakan khidmat feri terus ke Tanjung Balai, Karimun paling menjadi tumpuan dan sehingga kelmarin, ia mencatatkan kepulangan 7,000 warga Indonesia.

“Hari ini (semalam), sejak perjalanan feri pertama jam 6.45 pagi, ia mencatatkan sehingga 1,800 pengguna.

“Biarpun padat dan ramai, namun kami lihat perjalanan berjalan lancar dan semua yang mahu pulang dapat menaiki feri,” katanya ketika ditemui selepas menjalankan lawatan Pantauan Mudik Lebaran di terminal feri berkenaan, semalam.

Turut serta Konsular KBRI Yusron B Ambari, Atase Tenaga Kerja KBRI Mustafa Kamal, Ketua Syahbandar Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan Azman Mohd Ali, Pengarah Urusan Kukup Ferry Rasiman Musiran dan Ketua Pegawai Operasi Kukup Ferry Wahib Musiran.

Muhammad Abduh berkata, setakat ini, tiada penangguhan perjalanan berlaku dan setiap hari sembilan perjalanan disediakan.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan hari ini hari terakhir Ramadan, perjalanan feri di terminal itu ditambah kepada 16 perjalanan sehingga jam 5 petang atau sehingga semua warga Indonesia dapat pulang.

Sementara itu, Rasiman berkata, pada hari biasa, terminal itu mencatatkan 500 pengguna ke Tanjung Balai pada setiap hari, namun apabila musim perayaan bertandang, bilangan pengguna mencecah lebih 2,000.

“Tahun lalu, kami pernah merekodkan 2,300 pengguna dalam sehari. Tiket berharga RM125 bagi perjalanan pergi dan balik mula dijual seawal jam 3.30 pagi bagi musim perayaan dan perjalanan pertama bermula jam 6.45 pagi.

“Cuti pekerja kami juga dibekukan bagi memastikan kelancaran operasi warga Indonesia pulang ke kampung halaman,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 8:55am
d