mutakhir

Seorang maut, 3 cedera

Oleh Balqis Jazimah Zahari

SEORANG maut manakala tiga cedera dan lima lagi terselamat selepas kenderaan mereka naiki bertembung dalam kejadian di Jalan Kuala Kangsar - Gerik, di Kampung Biong, Kuala Kangsar hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, Mohd Efendy Md Zain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu jam 9.30 pagi yang membabitkan dua kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dan Proton Wira.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian pihaknya mendapati Proton Wira dalam keadaan remuk dengan seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu dan seorang lagi penumpang hadapan mengalami kecederaan.

"MPV pula dinaiki tujuh orang dengan dua daripadanya mengalami kecederaan.

"Bomba kemudian bertindak menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa yang tersepit Mohd Farid Mohamad Nor, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik dan mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya,penumpang hadapan yang cedera adalah bapa kepada pemandu Proton Wira dan dua daripada tujuh orang yang berada di dalam Avanza yang kesemuanya kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Berdasarkan maklumat awal diperoleh bomba dua beranak berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Lenggong ke Kuala Kangsar dan Toyota Avanza dalam perjalanan dari arah bertentangan.

"Operasi tamat pada jam 11 pagi," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 2:34pm
d