mutakhir

Polis Sandakan selesaikan 34 kes jenayah

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

POLIS Sandakan berjaya menyelesaikan 34 kes membabitkan jenayah ragut, pecah rumah, curi kereta dan motosikal di sekitar bandar Sandakan, susulan penahanan sembilan lelaki termasuk seorang remaja dalam Op Cantas sepanjang Ramadan hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, semua suspek berusia 15 hingga 58 tahun ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

"Semua suspek diberkas dalam Op Cantas di sekitar bandar ini sepanjang ramadan hingga hari ini.

"Suspek terbabit melakukan jenayah secara individu dan berkumpulan iaitu kes ragut, pecah rumah, curi kereta dan motosikal membabitkan 34 kes," katanya dalam sidang media di IPD Sandakan, hari ini.

Azhar berkata, susulan kejayaan itu, IPD Sandakan turut merampas sebanyak 25 barangan seperti televisyen, mesin pengisar, telefon bimbit, pakaian, lima motosikal dan pelbagai komponen motosikal serta dua kereta dipercayai hasil kegiatan jenayah yang dilakukan.

"Semua suspek dan barangan dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan ujian air kencing, empat suspek didapati positif dadah.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457, 379, 379A dan 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penduduk di daerah ini yang akan bercuti sempena perayaan Aidilfitri dinasihatkan supaya memastikan rumah dikunci sebelum ditinggalkan dan maklumkan polis serta jiran.

"Bagi pengguna jalan raya diharapkan berhati-hati memandu, ikut peraturan dan jangan terburu-buru... sehubungaitu, saya mewakili warga IPD Sansakan mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir batin," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 6:27pm
d