mutakhir

Luncur udara dipukul ribut

Oleh Hamzah Osman

PENGAJAR sukan luncur udara cedera, manakala pelancong kanak-kanak lelaki dari China terselamat apabila luncur udara yang mereka naiki dipukul ribut dalam kejadian di Pantai Tengah, Langkawi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa, Asratu Syaaban Mislan, 21, dari Kampung Paya Mempelam, Mukim Kedawang di sini, luka di bahu kiri selain cedera di kaki dan dihantar ke Hospital Langkawi (HL) untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, pelancong kanak-kanak yang dikenali sebagai Chao Yang, 7, dari China, dilaporkan terselamat selepas hanya melecet kecil pada kedua-dua paha.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu yang berlaku ketika ribut.

"Kemalangan membabitkan satu luncur udara yang ditarik bot dan dinaiki dua mangsa iaitu masing-masing seorang pengajar berusia 21 tahun dan pelancong kanak-kanak berusia tujuh tahun.

"Ketika di udara, luncur udara terbabit dipukul ribut sebelum kedua-dua mangsa diterbangkan angin ke arah bukit berdekatan sebelum terjatuh ke tanah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Che Ghazali berkata, pelancong kanak-kanak warga China itu dilaporkan sudah pulang ke negara asal bersama keluarganya petang tadi," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 7:00pm
d