mutakhir

Raya suram

Oleh Togi Marzuki

Pontian: Empat keluarga di Kampung Serkat, Kukup, di sini, menyambut Aidilfitri dalam keadaan tidak sempurna apabila rumah diduduki mereka rosak termasuk bumbung tercabut diterbangkan angin dalam kejadian ribut, kelmarin.

Kejadian jam 9.30 pagi itu turut menyebabkan tanaman diusahakan di sekeliling rumah musnah.

Bagaimanapun, penduduk bernasib baik berikutan kejadian itu tidak meragut nyawa atau mengakibatkan kecederaan kepada mereka.

Penduduk, Anuar Ibrahim, 63, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri, Pozilah A Samad, 57, dan adik ipar yang dikategorikan orang kurang upaya, Ibrahim Samad, 40, sedang mengemas rumah selain membuat kuih raya di dapur.

Menurutnya, keadaan menjadi kelam-kabut dan mencemaskan kerana tiupan angin yang kencang bukan saja menggoncangkan rumah dihuni mereka, malah air hujan turut membasahi sebahagian ruang dapur.

“Ketika itu keadaan rumah bagaikan disimbah air, namun ia terhenti walaupun hujan di luar semakin mencurah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, ketika mendongakkan kepala, dia baru menyedari bumbung rumahnya diterbangkan angin.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, kediamannya menjadi tumpuan orang ramai berikutan kedudukan atap anjung terpasang semula di ruangnya selepas diterbangkan angin, namun dalam keadaan terbalik.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 5:52am
d