mutakhir

Niat raya beramai terbantut

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuala Lipis: Hari ini, dia sepatutnya berkumpul bersama ahli keluarga dan sanak saudara untuk menyambut Aidilfitri namun semua itu tidak menjadi kenyataan apabila dia terbunuh selepas Perodua Alza dinaikinya bertembung dengan Toyota Fortuner di Kilometer 9, Jalan Lipis-Jerantut, Kampung Kuala Lanar, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, mangsa penumpang hadapan, Roslina Mohd Yusoff, 42, dari Taman Bestari Indah, Ulu Tiram, Johor maut di tempat kejadian.

Suami mangsa, Jamaluddin Yahaya, 44, yang memandu kenderaan itu serta anak mereka, Nur Ilya Syazwana, 5, yang duduk di kerusi belakang parah dan dikejarkan ke Hospital Lipis untuk mendapatkan rawatan.

Tiga lagi anak mangsa, Mohd Syazwan, 19, Nur Ilya Syazwani, 18, Mohd Syakim, 15, serta seorang saudara mereka, Suriati Mohd Yusoff, 38, cedera ringan.

Pemandu Toyota Fortuner, Datuk Kamalrulbaharin Ibrahim, 53, berasal dari Bandar Baru Kuala Lipis, di sini, turut cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, ketika kejadian, mangsa bersama keluarganya dalam perjalanan menghala ke Gua Musang, Kelantan dari Johor Bahru untuk menyambut Aidilfitri.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, Jamaluddin dipercayai mengantuk lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan dipandu Kamalrulbaharin dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera dikeluarkan orang awam dari kenderaan manakala Roslina meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk dibedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 5:53am
d