mutakhir

Nyaris menangis

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: “Nasib baik ada bas percuma, jika tidak, saya mungkin menangis kerana beraya di perantauan,” kata Umar Iskandar Mohd, 18, penuntut tahun pertama Program Asasi Sains Fizikal Universiti Malaya.

Umar Iskandar dari Telemong, Hulu Terengganu antara 320 penuntut yang pulang bercuti sempena Aidilfitri dengan menaiki bas percuma disediakan kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT).

Semua penuntut tiba di bandar raya ini jam 4.30 pagi semalam dengan menaiki lapan bas yang disediakan kerajaan negeri bagi membolehkan mereka menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Mereka dilaporkan berdepan masalah mendapatkan tiket bas untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri sebelum peluang pulang ke kampung secara percuma itu diajukan Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA) di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.

Menurut Umar Iskandar, dia lewat mencari tiket kerana terikat dengan komitmen pengajian yang berakhir pada petang Jumaat lalu dan tidak menyangka tiket bas habis.

“Saya sudah cari tiket bas tetapi semuanya habis dan terdetik kemungkinan saya beraya di Kuala Lumpur.

“Namun, saya bersyukur apabila didatangi wakil PERMATA di universiti yang memaklumkan kerajaan negeri menyediakan bas untuk penuntut yang berada di perantauan,” katanya.

Rasa syukur turut dirasakan penuntut semester dua jurusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Nurul Nabilah A Razak, 20, apabila berpeluang menyambut lebaran bersama keluarga melalui kemudahan itu.

“Saya duduki peperiksaan pada akhir Ramadan dan lewat mendapatkan tiket untuk pulang ke kampung.

“Inisiatif kerajaan negeri membantu penuntut seperti kami amat dihargai dan berharap ia diteruskan bagi menyelesaikan masalah sukar mendapat tiket disebabkan peperiksaan dan waktu pengajian yang padat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri Bazlan Abd Rahman berkata, lapan bas disediakan untuk membawa pulang penuntut IPT di Zon Tengah (Kuala Lumpur), Zon Selatan (Johor) dan Zon Utara (Pulau Pinang) secara percuma.

Katanya, Program Jom Balik Raya PERMATA yang masuk tahun ketiga itu dilaksanakan menerusi YT.

“Sebanyak enam bas disediakan untuk mengambil penuntut di Zon Tengah manakala masing-masing satu bas di Zon Selatan dan Utara.

“Kami turut menyediakan hidangan sahur sebelum mereka pulang ke daerah masing-masing termasuk Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut selepas selesai bersahur dan solat Subuh,” katanya selepas menyambut ketibaan bas membawa penuntut di Bangunan YT, di sini, semalam.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 6:05am
d